Si Pengembala Kambing :)

Pages

17 August 2012

Selamat Tinggal, Abah!

Assalamualaikum WBT

3 Ogos 2012

Azan Maghrib berkumandang dari masjid berdekatan dengan rumah. Aku dan adik-adik yang memang sudah tersedia menunggu di meja makan, lantas berbuka puasa setelah membaca doa. Tak sempat nak menjamah hidangan yang serba ringkas di depan mata, telefon bimbit aku berbunyi menandakan ada panggilan masuk. Dalam hati tertanya-tanya siapa gerangan yang menelefon sewaktu berbuka puasa ni. 

Skrin telefon aku tatap. Perkataan "Mak" terpampang di skrin telefon hadiah pemberian abah itu. Dengan penuh rasa tak sedap hati, aku jawab panggilan mak.

"Mira tengah buat apa?" kedengaran suara mak bertanya. Jantung aku makin kencang berdegup. Aku tak suka mendengar nada suara mak ketika itu. Lirih dan sayu. Dalam hati berdoa semoga apa yang aku fikirkan tidak menjadi kenyataan.

"Baru nak berbuka. Kenapa?" aku tanya soalan. Walaupun aku semacam dah tahu apa jawapannya. Mata mula berkolam digenangi air mata.

"Mira duduk dulu. Mak nak bagi tahu ni, abah baru meninggal. Abah dah tak ada" suara mak sebak. Air mata aku laju turun membasahi pipi. Aku terdiam. Cuba mencerna apa yang disampaikan mak. Walaupun hakikatnya aku sudah boleh mengagak perkara itu akan berlaku. Tapi aku masih tak percaya. Aku tak mahu percaya, malah aku harap ianya hanya satu lagi mimpi ngeri aku. "Cakap dekat adik-adik ye?" tambah mak lagi. Talian diputuskan.

Aku terduduk di ruang tamu. Dalam hati tertanya-tanya bagaimana cara terbaik untuk aku khabarkan perkhabaran duka ini, yang mengubah status aku dan adik-adik aku menjadi anak yatim? Air mata tak berhenti mengalir. Aku sapu air mata aku, lalu berjalan menuju ke meja makan tempat adik-adik sedang menikmati juadah berbuka puasa. Mereka masih tak tahu bahawa abah telah pergi buat selama-lamanya meninggalkan mak dan kami adik beradik.

Adik perempuan aku menoleh, bertanyakan siapa gerangan si pemanggil.

"Abah dah tak ada" cuma itu yang mampu aku ucapkan dan aku kembali menangis. Terperuk aku disisi sofa cuba mencari sisa kekuatan yang tinggal. Anehnya adik-adik aku tak menitiskan air mata. Mereka cuma diam dan bungkam di meja makan.

Tanpa berlengah aku segera mengambil wuduk, lantas menunaikan solat fardu Maghrib, yang aku rasakan solatku yang paling khusyuk sepanjang hidupku. Dan hanya kepada Dia aku memohon pertolongan dan belas kasihan. Agar diampunkan dosa-dosa abah dan diberikan mak kekuatan untuk menghadapi detik ini.

Selesai solat, kami bergerak ke Hospital Taiping. Aku hampir mengamuk kerana tak dibenarkan masuk ke wad oleh Pengawal Keselamatan, mujurlah ada seorang lagi pengawal keselamatan yang membenarkan kami masuk. Sampai di wad C6 Hospital Taiping, aku nampak mak termenung memandang jenazah abah yang sudah dibungkus rapi. 

Jururawat masuk untuk membuka kain yang membungkus abah. Demi Allah, inilah kali pertama aku dapat mencium pipi abah sejak 12 tahun yang lepas. Sayang sekali tubuh yang dicium itu kaku, sejuk dan tidak bernyawa. Lama aku memeluk jenazah abah, mengenangkan hakikat yang aku tak akan dapat lagi memeluk tubuh itu selepas ini.

Mak hilang arah dan sebagai anak sulung, akulah yang harus membuat keputusan bagaimana caranya hendak menguruskan jenazah abah. Setelah berfikir panjang dan mendapat nasihat daripada adik abahku, yang aku mesra memanggil dengan panggilan Cu, aku putuskan untuk tinggalkan jenazah abah di rumah mayat.

Malam itu juga semua sanak saudara bertolak ke Taiping. Paling awal tiba adalah Pak Teh aku dari Alor Star pada pukul 1 pagi. Disusuli dengan adik beradik mak dan abah yang lain-lain. Aku sangat bersyukur dikurnikan ahli keluarga yang mengambil berat terhadap kami. Abah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Al-Hidayah, Assam Kumbang pada pukul 11 pagi..

Aku ingin mengucapkan terima kasih terhadap ahli keluarga yang banyak membantu dari segi sokongan kewangan dan juga moral terhadap kami sekeluarga. Begitu juga dengan rakan-rakan mak dan arwah abah yang sudi datang menziarahi kami. Tak lupa juga buat kawan-kawan aku yang menghulurkan ucapan takziah dan doa terhadap arwah abah. Tapi paling aku syukuri kerana Allah hadirkan Faisal Redza Razak di saat aku paling memerlukan tempat untuk meluah perasaan. Kawan memang ramai yang bersimpati, tapi tak ada yang benar-benar memahami apa yang aku rasakan kecuali dia, kerana dia pernah mengalami episod duka ini. Thanks a lot for the advices and moral support. Kalau tak sekarang aku mungkin masih terkapai-kapai mencari tempat untuk berpaut. Demi Allah, kalau kau tak ada Faisal, aku mungkin tangguh pelajaran satu sem, aku mungkin tak tahu apa nak buat, aku mungkin tak tahu macam mana nak teruskan hidup. Terima kasih sebab hadir dalam hidup aku, sudi jadi tempat aku berpaut, buat aku tersenyum saat aku tengah sedih. Terima kasih sebab jadi sumber kekuatan aku.

Semoga Allah merahmati sesiapa sahaja yang berbuat baik kepada kami.

In Memory,
Mohd Nor bin Hashim
26 September 1952 - 3 Ogos 2012


4 comments:

muezz@blaz said...

sedihnye aku bace... semoga ko dan sekeluarga terus tabah... ini time ko, time aku ntah bile... semua akan merasa... :'(

syuhadaa said...

Inna lillah wa inna ilaihi raaji'un.

Semoga Mira satu femili kuat dengan dugaan besar ni.

Yang pergi tetap pergi, kita yang hidup mesti terus berjuang! Yeah!

*virtual hugs*

maizatul azrina Yaakob said...

semoga awak tabah n terima segala qadak dan qadar ALLAH dengan lapang dada..ada hikmah disebalik semua nih.. semoga arwah ditempatkn dalam kalangan org yg soleh. Amin..b strong yer

Noor Amirah Mohd Nor said...

terima kasih atas semua support =)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...